Wednesday, March 10, 2010

Suatu ketika dahulu....

Pengalaman mematangkan fikiran. Itulah ungkapan yang sering didengari apabila manusia menerima sesuatu dugaan mahupun mengalami sesuatu yang baru dalam hidupnya. Pengalaman juga mengajar kita erti kehidupan. Dari pengalaman juga kita menilai baik buruk sesuatu yang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Namun sejauh mana pengalaman yang dicari memberi erti yang bermakna dalam kehidupan kita?

Apa yang telah dilalui,apa yang telah kita hadapi akan ditinggalkan sebagai kenangan, kenangan yang akan kita tinggalkan dan tidak mungkin akan berulang.
Menjadi seorang pelajar university merupakan satu pengalaman yang ingin dikecapi bagi mereka yang masih di bangku sekolah, dan pengalaman yang amat bermakna bagi yang telah menghadapinya. Di sini aku ingin berkongsi satu cerita di mana aku pernah bergaduh dengan rakan sekelas aku untuk apabila kami masing-masing berlawan untuk mendapat tempat di university satu hari nanti. Pada hal waktu itu kami baru darjah enam dan belum menjejakkan kaki ke sekolah menengah pun lagi.

Setiap kali selepas mendapat markah ujian atau peperiksaan, kami akan membanding-banding sesama sendiri. Ketika itu, sudah semestinya yang terbaik akan disebut-sebut dan yang terendah markahnya tidak akan berpuas hati dan kadang kala ada yang menangis. Almaklumlah, ketika itu kami masih budak-budak dan semestinya belum matang untuk mengawal perasaan. Bermasam muka pula sudah menjadi perkara biasa di dalam kelas. Selepas itu, bermula la sesi bertelingkah dan kadang-kadang sehinggakan menjadi isu pergaduhan hanya kerana tidak puas hati dengan markah masing-masing.
Ketika itu, pelajar terbaik akan memdapat ramai kawan atau kami mengelarkan sebagai ‘geng’ dan pelajar paling rendah markahnya pula akan sukar untuk mencari ‘geng’. Begitulah setiap kali selepas mendapat markah peperiksaan atau ujian. Selepas tamat darjah enam, kami masing-masing berpisah ke sekolah menengah yang berlainan.

Semenjak itu, kami tidak pernah berkumpul kembali walaupun ada diantara kami yang hanya bersekolah di kawasan yang berdekatan. Sewaktu kami berada di tingkatan empat, kami semua digemparkan dengan kehilangan salah seorang pelajar terbaik ketika di darjah enam apabila arwah pergi mengadap Ilahi akibat terlibat dengan kemalangan ketika memandu motosikal untuk ke sekolah. Aku diberi tahu bahawa arwah baru mendapat lesen motosikal seminggu sebelum kemalangan berlaku. Ketika itulah sebahagian dari rakan-rakan kelas aku berkumpul kembali ketika menziarahi arwah.
Kini, kami masing-masing sudah berusia 22tahun dan hampir kesemuanya berjaya berada di menara gading yang kami impi-impikan selama ini. Kami bertemu semula kesemua rakan-rakan sekelas daripada laman ‘ Facebook’ beberapa bulan yang lalu dan sekarang kami dalam perancangan untuk berkumpul semula disamping bercuti di Pulau Langkawi pada Mei ini. Sungguh tidak dijangka betapa ‘ Facebook ’ sangat membantu untuk kami bertemu kembali.

Ini adalah photo ketika kami berada di darjah 6.

MANUSIA KEJAM!

Selepas Negara digemparkan dengan berita bunuh ayah kandung satu ketika dulu, timbul pula berita bunuh teman wanita akibat cemburu dan banyak lagi berita-berita bunuh yang mengemparkan Negara sehinggakan kita sudah menjadi biasa dengan berita bunuh.
Tidak cukup dengan itu,kejadian bunuh yang melibatkan bayi juga sudah penat kita dengari. Terbaru, kes dera anak yang berusia 3 tahun sehingga mati oleh teman lelaki ibu dan kes buang bayi dalam mangkuk tandas sehingga dipercayai remuk tulang bayi tersebut.

Manusia hari ini sudah semakin kejam. Mereka sudah tidak kenal erti haram atau halal dalam kehidupan. Terpengaruh dengan nafsu serakah sehingga bersifat seperti syaitan. Membunuh merupakan perkara biasa pada mereka asalkan hati mereka puas melampiaskan marah.

Sampai bila perkara ini akan terus berlaku? Tidak cukup ketatkah undang-undang Negara kita atau ini adalah petanda akhir zaman? Manusia berkelakuan seperti syaitan?
Apakah tindakan yang akan diambil? Memberi peluang kedua untuk menginsafi atau mereka juga patut dihukum bunuh?

Manusia akhir zaman, semakin hari semakin hilang akal, sudah tiada perasaan kasihan atau sayang malah menjadi semakin kejam!

Kewartawanan dalam talian memberi peluang kepada suara- suara penentang/pengkritik

Kepesatan teknologi kini telah memberi banyak kemudahan kepada mereka yang celik IT dalam meluaskan lagi pengetahuan dan memperbesarkan lagi cabang dalam mencari dan berkongsi maklumat. Sejurus kepesatan ini, kewartawanan dalam talian juga telah diperkenalkan dan berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Pertumbuhan kewartawanan dalam talian seperti BLOG contohnya, telah memberi peluang kepada pengkritik- pengkritik untuk melepaskan pandangan dan berkongsi idea mereka yang dirasakan bernas dan benar untuk pengetahuan umum. Kewartawanan dalam talian ini juga telah memberi peluang kepada blogger – blogger untuk menjadi pengkritik yang terkenal dan mencetuskan berbagai kontroversi dalam arus kepimpinan politik Negara mahupun arus kemodenan Negara.

Namun, sejauhmana kebenaran luahan idea pengkritik-pengjritik ini harus kita ketahui. Patutkah kita menerima tanpa usul periksa dan terus mempercayainya? Patutkah pula kita menolak idea mereka tanpa melihat nilai kebenaran tulisan mereka? Kita tidak seharusnya menerima atau menolak maklumat yang diberi tanpa menilai atau memandang dari segi positif dan negatif sesuatu perkara tersebut. Kita boleh membaca untuk menambah pengetahuan, tetapi kita juga harus mencari maklumat dari sumber yang lain juga untuk mendapatkan kepastian.

Kewartawanan dalam talian sebenarnya merupakan tempat kepada penulis – penulis menyurahkan idea-idea mereka, melepaskan perasaan mereka yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata dan juga tempat untuk mereka berkongsi pandangan bersama pembaca. Dari situ jugalah mereka mendapat idea-idea untuk menulis dan memanjangkan karya mereka. Disebabkan ini jugalah semakin ramai yang mendaftar untuk menyertai blog kerana di sini mereka bebas menyuarakan pendapat dan membuktikan kepandaian mereka dalam menulis.

Selain itu, terdapat juga mereka yang menyertai blog ini hanyalah untuk mendapat kenalan disamping berkongsi pendapat. Tidak kurang juga yang menjadikan blog untuk mempromosikan perniagaan mereka dan mencari kenalan perniagaan,pandangan dan kritikan yang membina untuk mereka terus tingkatkan mutu perniagaan mereka.
Walaubagaimanapun, kadang kala penulisan pengkarya-pengkarya dalam talian ini menimbulkan isu yang boleh mendatangkan kemarahan sesetengah pihak kerana hasil tulisan mereka menyentuh isu-isu keperibadian ataupun isu-isu sensitif pihak tersebut. Terdapat juga mereka yang melepaskan perasaan dengan mengkritik dan memburuk-burukkan mana-mana individu tanpa mempedulikan maruah atau perasaan individu tersebut. Disebabkan ini jugalah timbulnya krisis atau pergaduhan yang boleh melibatkan banyak pihak yang membaca dan sehingga membawa kepada campur tangan pihak ketiga.

Sesungguhnya, kewartawanan dalam talian merupakan satu pencapaian teknologi yang akan memudahkan kita untuk menerima dan berkongsi maklumat dan saling bertukar-tukar pandangan. Namun, semakin hari kewartawanan dalam talian ini menjadi satu fenomena di mana kebanyakan mereka mengunakan kewartawanan dalam talian ini sebagai tempat mengkritik atau membantah secara senyap perkara-perkara yang mereka rasa tidak selesa dan tidak sepatutnya dilakukan. Tetapi masalahnya, mereka hanya mengkritik tanpa berbuat apa-apa yang boleh mendatangkan kebaikan.

Walaupun kritikan kadang-kadang boleh mendatangkan kebaikan, tetapi masyarakat kini hanya tahu menilai kritikan dari segi negatif walau sebenarnya kritikan itu mempunyai banyak nilai-nilai yang membawa kepada aspek positif. Sebenarnya pengunaan kewartawanan dalam talian ini banyak mengajar kita untuk menilai sesuatu perkara yang berlaku melalui tulisan banyak pihak dan datangnya dari pandangan yang berbeza. Namun sejauh mana sekalipun kita mempercayai isu-isu yang dibincangkan dalam talian ini, kita haruslah mencari alternative lain juga untuk mencari kebenaran yang sebenar tidak hanya mengharapkan berita-berita hangat dalam talian ini.


Wednesday, February 17, 2010

Satu permulaan........

~~Selamat Datang~~
Nama diberi Nor Atikah Ibrahim.
Dilahirkan di negeri jelapang padi.
Ingin berkongsi coretan atau nukilan yang lahir dari hati.
Harap sudi berkongsi dan menerimanya dengan hati yang terbuka.
^_^